Pasca pilihanraya umum 2008, salah satu isu yang kerap kali diperkatakan adalah berkenaan dengan apa yang dikatakan sebagai ‘merosotnya kuasa politik Melayu’. Mengikut teori yang digemburkan ini, perpecahan di dalam pola pengundian orang Melayu telah melemahkan kuasa politik kaum tersebut. Perpecahan orang Melayu dikatakan telah membolehkan bangsa lain meluaskan pengaruh politik mereka, terutama sekali di negeri-negeri yang kini dipegang oleh pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.
Seringkali dikatakan bahawa sekiranya orang Melayu tidak memegang kuasa politik, mereka akan tenggelam di negara ini. Kuasa politik ini memastikan bahawa orang Melayu tidak dilupakan dan juga memastikan bahawa segala perancangan nasional akan mengambil orang Melayu di dalam perkiraannya.
Oleh itu, apabila Pulau Pinang dimenangi oleh DAP, dikatakan bahawa negeri itu kini dikawal oleh chauvanist Cina. Apabila Ketua Menteri negeri tersebut menyatakan bahawa Dasar Ekonomi Baru tidak akan dipraktikkan di situ, maka orang UMNO menunjuk perasaan. Begitu juga apabila digemburkan bahawa akan dilantik timbaan Mentri Besar di Selangor dan Perak, sekali lagi orang UMNO dan NGO Melayu membuat bantahan. Ada yang marah kononya di Selangor dan Perak, ahli exco negeri bukan Melayu adalah lebih atau sama banyak dengan ahli exco Melayu. Tidak mencerminkan keadaan sebenar negeri, kata mereka.
Kemudian beberapa NGO Melayu di Perak pula menghantar memorandum kepada DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak, untuk mengambil Barisan Nasional bagi membentuk kerajaan negeri, kerana undi popular (popular vote) parti tersebut di Perak melebihi undi popular Pakatan Rakyat. Tidak lupa juga isu babi di Selangor, yang telah dipolitikkan sebagai bukti kemerosotan pengaruh suara Melayu di dalam arena politik dan kerajaan.
Menyahut ‘cabaran’ ini, beberapa NGO yang kononnya mewakili orang-orang Melayu telah bergabung untuk membentuk ‘Badan Bertindak Perpaduan Melayu’ (BBPM), untuk menyatupadukan orang Melayu dan memperkasakan lagi apa yang dikatakan sebagai ‘Ketuanan Melayu’.
Perpaduan adalah satu perkara yang baik dan harus dialu-alukan. Saya tidak mempunyai apa-apa bantahan terhadap usaha untuk menyatupadukan orang Melayu, walaupun bagi saya isu yang lebih besar adalah untuk menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa. Akan tetapi, persoalan yang timbul daripada kewujudan BBPM adalah apa yang sebenarnya mereka katakan sebagai ‘perpecahan’ orang Melayu?
Adakah ‘perpecahan’ yang diwawarkan itu adalah perpecahan dari segi ideologi politik dan trend pengundian? Kita telah lihat bagaimana terdapatnya peralihan sokongan di kalangan orang Melayu dari UMNO-BN ke PAS dan PKR. Adakah ‘perpecahan’ di kalangan orang Melayu merujuk kepada hilangnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO? Dan apabila BBPM mengajak orang Melayu ‘bersatu’ semula, adakah penyatupaduan itu merujuk kepada penyatupaduan di dalam UMNO?
Saya mempunyai syak wasangka yang tinggi terhadap BBPM. Pembentukan badan tersebut ‘secara kebetulan’ berlaku selepas UMNO mengalami kekalahan yang teruk di dalam pilihan raya. Tidak salah sekiranya saya beranggapan bahawa ini merupakan salah satu gimik politik yang dimainkan oleh parti pemerintah. Apatah lagi mendengar hujah-hujah yang dikemukakan ketika forum perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh BBPM baru-baru ini, yang rata-rata berbaur perkauman dan boleh disifatkan sebagai kata-kata hasutan. Malah, salah seorang yang memberi ucapan pada forum itu mengatakan bahawa kelulusan ladang khizir moden di Selangor adalah langkah permulaannya pengusiran orang Melayu dari kampung halaman mereka, seperti rejim Israel telah mengusir rakyat Palestin! Saya percaya bahawa golongan ultra Melayu ini akan berulang kali membangkitkan sentimen pekauman di masa hadapan dan mendakwa bahawa orang Melayu akan menggadaikan masa hadapan mereka sekiranya mereka tidak bersatu di bawah payung UMNO.
Saya tidak mengerti bagaimana kuasa politik orang Melayu boleh terhakis pasca pilihanraya umum yang lepas. Benar, kerusi UMNO di Parlimen dan dewan undangan negeri telah berkurangan namun kerusi-kerusi tersebut telah digantikan dengan wakil dari PKR dan PAS. Sekiranya kita beranggapan (dan saya sendiri tidak setuju dengan tanggapan ini) bahawa hanya orang Melayu dapat mempertahankan hak Melayu, maka sebenarnya kuasa politik Melayu tidak pernah berkurangan. Kuasa politik UMNO telah berkurangan, bukan kuasa politik Melayu.
Mitos bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO telah dilenyapkan pada pilihanraya yang lepas. Orang Melayu telah sedar bahawa bukan UMNO sahaja yang boleh memperjuangkan nasib mereka. Malah, saya percaya ramai orang Melayu juga sedar bahawa tidak semestinya orang Melayu sahaja yang boleh memperjuangkan nasib mereka.
Orang Melayu telah membuka mata mereka kepada kerakusan parti yang kononnya mempertahankan hak mereka tetapi sebenarnya lebih mementingkan diri dan keluarga mereka. Tiada gunaya menghunus keris dan menciumnya berkali-kali sekiranya kita tidak melakukan apa-apa untuk menaiktarafkan orang Melayu yang benar-benar memerlukannya. Tiada gunanya kita mewarwarkan DEB sekiranya ianya hanya memperkayakan orang-orang tertentu sahaja.
Sekiranya kita benar-benar ingin bersatu untuk kebaikan Malaysia, marilah kita kita membuang kaca mata bertinta perkauman. Hentikanlah retorik dan politik perkauman, hentikanlah dasar pecah dan perintah yang diwarisi daripada pihak British. Marilah kita bersatu bersama-sama dan membantu semua rakyat Malaysia yang memerlukan, tanpa mengira kaum ataupun agama.
[POSTSCRIPT, 27 April 2008]: Representasi Melayu di Parlimen sebenarnya telah bertambah berbanding dengan sesi Parlimen yang lepas. Representasi tersebut terdiri daripada ahli Parlimen dari parti BN-UMNO, PKR dan PAS.
