Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diilhamkan oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada mulanya diterima dengan sinis oleh orang ramai. Walaupun dikatakan sebagai sebuah badan bebas, persepsi terhadap SPRM adalah ianya hanyalah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ‘berpakaian baru’.
Jadi apabila SPRM memulakan siasatan besar-besaran terhadap beberapa pemimpin bawahan UMNO dalam usaha untuk membenteras apa yang dilabelkan sebagai ‘politik wang’, ramai yang tidak menyangka ia akan berlaku dan pada yang sama, mengalu-alukan usaha SPRM tersebut. Masih terlalu awal untuk kita memutuskan samada SPRM benar-benar bebas dari pengaruh eksekutif, namun ianya merupakan permulaan yang baik.
Yang tidak menyambut baik usaha SPRM nampaknya adalah ahli UMNO sendiri. Beberapa hari yang lepas, sekumpulan ahli UMNO dari sayap Pemuda telah membuat demonstrasi di Menara Dato’ Onn dan menyerahkan memorandum membantah tindakan SPRM dalam soal membenteras politik wang. Kumpulan ahli UMNO ini menggesa kerajaan supaya SPRM dilupuskan. Nampak gayanya, mereka marahkan SPRM kerana telah membuat siasatan terhadap gejala politik wang di dalam UMNO. Alasan mereka? Gejala politik wang adalah isu parti yang harus ditangani oleh parti sendiri, dan bukan pihak ketiga.
Ahli-ahli UMNO yang sekian lama mengamalkan budaya patronage atau ‘hutang budi’ sudah tentu akan berasa tertekan dengan usaha SPRM. ‘Politik wang’ atau rasuah sudah lama menjadi barah di dalam parti politik itu dan sudah menjadi sebati dengan nadi UMNO. Dengar sahaja cerita-cerita yang keluar sewaktu pertandingan bahagian dan cawangan dahulu. Dan juga cerita-cerita berkenaan dengan pencalonan jawatan-jawatan tertinggi di dalam UMNO. Jika benar apa yang diceritakan, maka SPRM tidak akan lekang bekerja untuk menyiasat segala rasuah, ‘hadiah’, ‘pengeras’, angpow dan macam-macam lagi yang telah bertukar tangan pada waktu itu.
Tidak hairanlah jika pedemonstrasi-pedemonstrasi UMNO tersebut melaungkan slogan seperti “Kembalikan Hak UMNO” dan “Jangan sekat kebebasan bersuara ahli UMNO”. Mungkin dalam pemikiran mereka, menerima wang atau balasan setimpal dengannya demi membuat sesuatu keputusan itu tidak salah dan telah menjadi ‘hak’ mereka sebagai ahli UMNO. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan bahawa slogan UMNO kini telah bertukar dari ‘demi bangsa, agama dan negara’ kepada ‘demi wang, projek dan kuasa’.
Parti yang dahulu memperjuangkan kemerdekaan kini telah kehilangan arah. Jika dahulunya orang menyertai UMNO untuk berbakti kepada bangsa, agama dan negara, kini UMNO disertai untuk tujuan perniagaan, untuk menjalinkan hubungan (contacts) dan untuk menerima balasan. Orang tidak lagi menyertai UMNO untuk cuba membawa perubahan yang positif.
Walhal pada hakikatnya adalah amat wajar bagi SPRM untuk membuat siasatan di dalam UMNO. Politik wang itu adalah rasuah, dan rasuah adalah di bawah bidangkuasa SPRM. Politik wang di dalam UMNO bukan lagi hanya masalah dalaman UMNO kerana ia melibatkan secara langsung atau tidak langsung rakyat di luar sana. Masih ramai lagi ahli UMNO yang berada di kedudukan yang boleh membuat keputusan (decision-making positions), walaupun telah kehilangan lima negeri. Tidak mustahil bahawa antara ‘balasan’ yang diberikan adalah pemberian projek-projek yang melibatkan orang awam, ataupun wang rakyat yang telah disalahgunakan. Adalah menjadi tugas SPRM untuk menyiasat aktiviti ahli UMNO selama ini.
Sikap ahli UMNO yang begitu resistan terhadap siasatan SPRM menunjukkan antara permasalahan yang melanda parti itu. Rakyat jelata telah mual dan jelik dengan rasuah dan politik wang, akan tetapi ahli UMNO tidak merasakan bahawa ada apa-apa yang salah dengannya. Ini menunjukkan betapa jauhnya UMNO dengan nadi rakyat secara amnya. Hubungan di antara rakyat dan UMNO semakin kabur, sehinggakan UMNO tidak lagi dapat ‘membaca’ apa yang diinginkan oleh rakyat. Semakin lama perkara ini dibiarkan berlaku, UMNO akan semakin hilang relevannya kepada masyarakat negara ini.
Seperti kata Tuan Guru Nik Aziz, UMNO kini semakin hilang ‘graviti’ untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya. Manakan tidak, sekiranya perjuangan ahli UMNO yang dilihat oleh rakyat hanyalah perjuangan untuk mendapatkan ‘balasan’.
