Refleksi Minda

Reflections from the mind of a self-professed social critic

Bila UMNO bantah kuil… 19 August 2009

Filed under: Politics, Racial issues, Religion — Syahredzan Johan @ 3:46 pm
Tags: , , , , ,

Apabila saya membaca berita ini, saya hanya boleh geleng kepala.

Saya tak faham mengapakah penempatan semula sebuah kuil boleh dijadikan isu.

Apa sudah jadi dengan negara kita?

Lebih-lebih lagi dengan kehadiran mereka yang suka menangguk di air keruh seperti Datuk Noh Omar dan UMNO Selangor-nya, yang begitu gah ingin menfailkan injunksi menghalang kuil tersebut.

Laporan Berita Harian:

UMNO Selangor mohon injunksi ketepi bina kuil di Shah Alam

SHAH ALAM: Umno Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti Islam di Seksyen 23, di sini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Noh Omar, berkata tindakan itu wajar dan berasaskan alasan yang kukuh kerana bertentangan dengan konsep 1Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Artikel 11 menyatakan rakyat Malaysia bebas beragama tetapi perlu dilaksanakan secara harmoni tanpa membabitkan pencabulan serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama lain.

“Kita percaya apabila sesuatu rumah ibadat hendak dibina, kerajaan negeri perlu mengambil kira sensitiviti kaum dan agama yang tinggal di sesuatu kawasan itu.

“Dalam soal pembinaan kuil di Seksyen 23 ini, penduduk Islam mewakili 70 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk yang mana sensitiviti mereka perlu diambil kira.

“Kita akan bantu penduduk dan membawa bantahan mereka ke mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengenepikan keputusan kerajaan negeri untuk membina kuil di kawasan ini.

“Keputusan kerajaan negeri boleh menimbulkan suasana tidak harmoni serta tidak menepati dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak kuil itu, semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, beliau akan merujuk kepada Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan pandangan serta merangka persediaan yang perlu sebelum memulakan tindakan sedemikian berdasarkan bantahan yang dibuat kira-kira 500 penduduk Islam di kawasan itu.

Hentikanlah mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama. Kami sudah muak.

Tak payah lah berkata-kata tentang Perlembagaan Persekutuan jika tidak memahami apa yang terkandung di dalamnya. Tidak ada mana-mana peruntukkan di dalam Perlembagaan yang menyatakan bahawa kuil tidak boleh dibina di tempat majoritinya Islam.

Bukankah rakyat agama lain juga punya hak?

*untuk penjelasan lanjut tentang isu ini, sila pergi ke laman blog YB Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam.

 

Leave a Reply