Pepatah Melayu ada mengatakan, adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang jangan terlalu bongkak dan yang kalah harus menerimanya dengan hati yang terbuka.
Pilihanraya umum yang baru dilangsungkan telah membuahkan satu fenomena politik yang dikatakan bagai ‘tsunami’, di mana parti perikatan Barisan Nasional telah mengalami kekalahan yang teruk di seluruh negara.
Akibat dari tamparan itu, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional memutuskan untuk mencermin diri mereka dan parti itu sendiri. Mereka menyatakan hasrat mereka untuk membuat kajian dan post mortem tentang kekalahan mereka, sebab mengapa hanya 51% dari rakyat Malaysia yang keluar mengundi pada 8 Mac yang lalu mengundi Barisan Nasional.
Ramai yang telah menjangka bahawa pengundi-pengundi bukan Melayu akan berpihak kepada pembangkang kali ini. Ini jelas dengan kekalahan hebat yang dialami oleh parti-parti komponen Barisan Nasional yang berlandaskan kaum bukan Melayu, seperti MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Akan tetapi, ramai yang tidak mengjangka bahawa di kalangan pengundi-pengundi Melayu juga rata-rata terdapat vote swing kepada pihak pembangkang.
UMNO sebagai parti kompenan bangsa Melayu di dalam Barisan Nasional haruslah bertanggungjawab. Ahli-ahli dan para pemimpin UMNO harus mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku dan melihat semula di mana kesilapan mereka. Jika mereka tidak berbuat demikian, masa depan UMNO akan menjadi semakin gelap dan lama-kelamaan, parti tersebut akan menjadi tidak relevan lagi.
Apa yang amat mengecewakan adalah UMNO bagaikan tidak mahu belajar dari kekalahan ini. Benar, pilihanraya umum baru berakhir seminggu yang lepas, tetapi apa yang dilihat dari UMNO selepas kekalahan Barisan Nasional tidak menunjukkan bahawa mereka mengambil apa-apa iktibar dari kekalahan mereka.
Ahli Parlimen Kepala Batas, Johari Baharom yang juga penyandang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri minggu lepas menyatakan bahawa kekalahan Barisan Nasional adalah disebabkan oleh parti-parti kompenan Barisan Nasional yang lain. Manakala Zainuddin Maidin, bekas Menteri Penerangan menyatakan bahawa sebab kekalahannya adalah kerana ‘undi protes’ dari pengundi bukan Melayu. Kenyataan-kenyataan seperti ini menunjukkan keangkuhan pemimpin-pemimpin tersebut yang tidak menerima kenyataan bahawa UMNO juga harus dipersalahkan di dalam hal ini.
Jika UMNO berhati terbuka, mereka sebenarnya akan dapat melihat bahawa mereka merupakan salah satu sebab pengundi bukan Melayu menolak parti-parti komponen BN yang lain. Mereka jangan sangka bahawa pengundi telah melupakan episod mengeluarkan keris oleh Ketua Pemuda UMNO sejak beberapa Perhimpunan Agung UMNO yang lepas. Dan juga kata-kata tidak sensitif yang dikeluarkan oleh ahli-ahli UMNO di Perhimpunan Agung dua tahun yang lepas. Isu yang berbangkit ketika itu tidak ditangani dengan baik oleh parti komponen yang lain dan pengundi bukan Melayu melihatkan parti MCA dan MIC sebagai ‘Pak Turut’ kepada UMNO, yang rata-rata mendominasi Barisan Nasional.
Tiada siapa di dalam UMNO yang mengakui akan hal tersebut. Dan UMNO kini kelihatan seperti ‘tidak faham bahasa’. Utusan Malaysia, media aliran perdana yang sebenarnya merupakan suara rasmi parti itu, kini giat mengkritik parti-parti pembangkang, terutama sekali DAP, menuduh mereka sebagai tidak membela nasib Melayu, biadap dan tidak sensitif. Malah UMNO juga telah mengadakan perhimpunan di hadapan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru, Lim Guan Eng, kononnya untuk membantah kenyataan pemimpin pembangkang tersebut berkenaan dengan DEB. ‘Hidup Melayu’ dan ‘Kami Menolak Kerajaan Pulau Pinang’, laungan mereka. Mereka ‘menghentam’ kerajaan Pulau Pinang belum sampai seminggu kerajaan tersebut dibentuk. Bagaimanakah mereka tahu bahawa nasib orang Melayu di Pulau Pinang akan tergadai hanya dalam masa beberapa hari?
Adakah mereka ingin melagakan orang Melayu dan bukan Melayu? Perbuatan mereka adalah taktik yang sering mereka gunakan iaitu menakutkan orang Melayu dengan kehilangan ‘ketuanan Melayu’ yang mereka juarakan itu. UMNO telah bertahan selama ini kononnya sebagai pembela nasib orang Melayu.
Ketika UMNO seharusnya mencermin diri, melihat semula dan mengkaji, mereka lebih gemar mengkritik parti-parti pembangkang. Masalah dalaman yang sedang melanda mereka seperti tidak diendah. Krisis kepimipinan presiden UMNO, kemelut melantik menteri besar di Perlis dan Terengganu dan kekalahan Barisan Nasional dan UMNO itu sendiri tidak dikaji mahupun cuba ditangani. Sokongan untuk parti tersebut semakin berkurangan, terutama sekali dari belia-belia Melayu professional masa kini. Jika tiada apa yang dilakukan, maka UMNO pada masa hadapan akan dipinggirkan oleh golongan professional dan intelektual Melayu yang tidak tahan dengan pemikiran kolot kebanyakan pemimpin-pemimpin parti tersebut.
Pengundi masa kini semakin bijak. Kenyataan-kenyataan yang diluahkan oleh para pemimpin akan diteliti. UMNO tidak boleh bergantung kepada scare tactics mereka yang berkali-kali membuahkan hasil. Orang Melayu kini tidak mudah diperdaya kononya tanpa DEB itu Melayu akan gagal. Orang Melayu sendiri telah melihat betapa polisi tersebut telah dicabuli oleh ‘jaguh-jaguh’ bangsa di dalam UMNO.
Seperti yang dikatakan oleh bekas pemimpin UMNO dan bekas ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, UMNO memerlukan suatu perubahan dari dalam, suatu reformasi dalam diri parti itu. Demokrasi harus dikembalikan ke dalam UMNO, budaya politik wang harus dilenyapkan. Di samping itu, pemikiran ahli UMNO harus juga berubah supaya mereka melihat diri mereka bukan hanya sebagai Melayu tetapi sebagai seorang rakyat Malaysia. Imej chauvanist Melayu yang kini menjadi stigma parti tersebut haruslah dikikis. Mereka harus sedar bahawa Melayu itu tidak semestinya UMNO.
Jika tidak, UMNO akan tenggelam.
