Politik itu adalah suatu seni retorik. Seni cakap-cakap, di mana ahli-ahli politik akan bercakap semua dan segala apa bagi meyakinkan rakyat jelata untuk memberi kepercayaan padanya. Orang politik cakap macam-macam. Lebih-lebih lagi jika apa yang diperkatakan itu dapat memastikan bahawa beliau mendapat sokongan.
Salah satu perkara yang sering dicakap-cakapkan akhir-akhir ini adalah tentang hak orang Melayu. Mengikut teorinya, selepas pilihanraya umum 8 Mac yang lepas, hak-hak orang Melayu kian terhakis. Orang bukan Melayu semakin berani meminta kesamarataan. Jika ini berterusan, adalah dikatakan bahawa suatu hari nanti orang Melayu akan kehilangan hak mereka.
Hairan sekiranya kita melihat bahawa hanya selepas 8 Mac sahaja isu ini dibangkitkan. Tsunami 8 Mac telah menyaksikan parti Barisan Nasional mengalami kekalahan yang teruk. Kebangkitan pihak pembangkang, yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat, dikatakan menjadi penyumbang utama terhakisnya hak orang Melayu. Yang seringkali menjadi sasaran adalah parti DAP yang dikatakan dipenuhi dengan chauvanist Cina dan unsur-unsur liberal di dalam parti pelbagai kaum, PKR.
Maka retorik ‘Melayu hilang hak’ ini dipermainkan dan diulangi oleh ahli-ahli politik UMNO, dan dibantu oleh media massa yang dikawal oleh parti tersebut. Mulanya dengan tertubuhnya ‘badan bertindak Melayu’ yang kononnya dianggotai oleh sekian banyak NGO dan pertubuhan Melayu, untuk menyatupadukan orang Melayu bagi menghadapai ‘ancaman’. Kemudian timbul isu-isu seperti projek khinzir di Selangor, pemberian tanah di Perak, muzakarah UMNO-PAS dan pelbagai isu-isu lain yang kononnya membuktikan bahawa hak orang Melayu semakin parah dan terancam.
‘Hak’ orang Melayu, atau lebih tepat lagi kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak termaktub di dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut artikel ini, adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk merisabkan kuota bagi orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak di dalam penjawatan awam, pemberian biasiswa dan tempat-tempat di universiti awam.
Antara perkara yang sering diungkitkan adalah berkenaan dengan komitmen saudara Anwar Ibrahim untuk melenyapkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menggantikannya dengan Ajenda Ekonomi Malaysia (MEA). Bagi pendokong teori ‘Melayu hilang hak’, ini adalah ‘bukti paling kukuh’ buat mereka bahawa hak Melayu akan lenyap dengan saudara Anwar Ibrahim.
Retorik ini adalah pembohongan nombor wahid di dalam negara pada ketika ini.
DEB tidak sama dengan hak istimewa orang Melayu yang termaktub di dalam Artikel 153. DEB hanyalah dasar penstrukturan sosial oleh kerajaan yang dipraktikkan sejak peristiwa 13 Mei. Malahan, DEB kini telah digantikan dengan Dasar Wawasan Negara (DWN) yang mengambil ’semangat’ DEB.
Oleh itu, sekiranya DEB tidak lagi digunapakai, ia tidak bermakna bahawa hak Melayu telah hilang. Hak istimewa orang Melayu, seperti saya nyatakan di atas, telah termaktub di dalam Perlembagaan Perksekutuan. Malahan, mengikut Artikel 159(5) Perlembagaan Persekutuan, Artikel 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Maknanya, walaupun kiranya satu hari nanti Artikel 153 dipinda atau dilupuskan oleh Parlimen, Dewan Rakyat tidak boleh berbuat demikian melainkan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja, yang seperti kita ketahui, dianggotai oleh raja-raja Melayu. Dan sudah tentu raja-raja Melayu tidak akan meluluskan pindaan tersebut dengan sewenang-wenangnya.
Berbalik kepada DEB, ianya hanyalah merupakan dasar kerajaan. Ia tidak ada kena-mengana dengan ‘hak’ orang Melayu, dan tidak akan terhakis atau lenyap hak tersebut sekiranya DEB tidak lagi digunapakai. Ketika dasar ini digubal, situasi pada masa tersebut amatlah memerlukannya. Orang Melayu pada ketika itu ketinggalan dari segi ekonomi dan ini adalah antara punca berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969. DEB telah berjaya mewujudkan golongan kelas pertengahan Melayu yang besar dan juga professional Melayu. Ia telah sedikit sebanyak mengangkat status sosial orang Melayu.
Akan tetapi, kelemahan perlakasaan DEB semakin ketara. Ini terbukti apabila kerajaan sendiri mengakui bahawa sasaran 30% pegangan ekuiti orang Melayu tidak kesampaian, walaupun setelah lebih kurang 30 tahun ianya dilaksanakan. DEB semakin lama semakin disalahgunakan untuk hanya menolong sesetengah orang Melayu yang ‘mempunyai cable‘.
Penyalahgunaan DEB ini paling ketara dalam pemberian kontrak, di mana kontrak-kontrak diberikan kepada kroni-kroni pemerintah yang kadangkala hanyalah proksi kepada orang lain. Ianya juga ketara dalam aspek-aspek seperti pemberian biasiswa kepada mereka yang tidak memerlukannya, pemberian rumah kos rendah kepada mereka dari golongan pemerintah walaupun mereka tidak memerlukannya, opsyen pembelian saham Bursa Malaysia, pemberian AP dan macam-macam lagi. Sekiranya DEB dibiarkan, maka dijangkakan bahawa sasaran 30% itu tidak akan dicapai langsung.
Oleh itu, banyak pihak mencadangkan supaya dasar ini dipinda atau ditukar untuk menjadi lebih adil dan lebih efektif. Cadangan yang diberikan adalah dengan menggunakan means based test, di mana bantuan diberikan bukan bergantung kepada etnik tetapi kepada keperluan. Ini terkandung di dalam MEA yang dipelopori oleh saudara Anwar Ibrahim.
Pendekatan means based adalah lebih adil jika dibandingkan dengan DEB. Dengan menggunakan pendekatan ini, bantuan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Harta negara akan dapat dibahagikan dengan lebih luas dan bukannya tertumpu kepada sesetengah golongan sahaja. Maka diskaun pembelian rumah tidak perlu diberikan kepada seorang Tan Sri berketurunan Melayu yang tidak memerlukannya. Atau biasiswa kerjaan tidak diberikan kepada anak Menteri yang mempunyai wang yang cukup untuk membiayai anaknya.
Pendekatan ini juga lebih equitable dan lebih adil kepada semua rakyat, tidak kira bangsa mahupun agama. Oleh itu, bukan bumiputera tidak akan merasakan bahawa mereka dianaktirikan oleh negara mereka sendiri, seperti yang berlaku ketika ini.
Bagaimana pula dengan orang Melayu? Orang Melayu merupakan golongan terbesar yang memerlukan bantuan di negara ini. Oleh itu, sekiranya pendekatan means based digunakan, maka orang Melayu yang miskin dan memerlukan akan tetap diberikan bantuan, sama seperti orang Cina, India, Iban dan Kadazan yang miskin dan memerlukan. Di samping itu, perizaban kuota yang telah termaktub di dalam Artikel 153 juga memastikan bahawa orang Melayu dan bumiputera tidak akan terpinggir.
Oleh itu, jika kita kaji retorik ‘Melayu hilang hak’ dan bandingkannya dengan realiti sebenar, kita dapat lihat bahawa sebenarnya ‘momok’ yang sering diungkitkan oleh pendokong retorik tersebut adalah tidak berasas. Hak orang Melayu telah terjamin di dalam Persekutuan, dan tidak ada siapa, walau Anwar Ibrahim, walau UMNO, walau DAP, walau Tun Mahathir sekalipun dapat melupuskannya tanpa persetujuan raja-raja Melayu. DEB pula bukanlah ‘hak’ orang Melayu, tetapi dasar tindakan affirmative untuk pengstrukturan sosial. Jika Melayu masih terpinggir pada waktu ini, ia adalah disebabkan kelemahan perlaksanaan dasar kerajaan yang tidak serata. Mengapa harus diteruskan suatu dasar yang tidak lagi efektif? Mengapa tidak kita tukar dasar tersebut kepada dasar yang lebih adil dan lebih efektif?
Orang Melayu harus sedar bahawa walau apapun hak atau dasar atau keistimewaan yang diberikan, ianya adalah untuk memastikan orang Melayu tidak terpinggir dan ketinggalan. Hak atau keistimewaan yang diberikan ini bukanlah sesuatu hak yang mutlak yang boleh ‘dipertahankan’ untuk selamanya. Orang Melayu harus sentiasa berusaha untuk tidak bergantung kepada keistimewaan atau dasar dan berdiri di atas kaki kita sendiri. Benar, mungkin ketika ini orang Melayu secara keseluruhannya masih sedikit sebanyak memerlukan bantuan. Tetapi dalam kita memberikan bantuan, kita juga harus terapkan ke dalam jati diri orang Melayu supaya apabila mereka tidak lagi memerlukan ‘tongkat’, mereka akan memberikannya kepada orang Melayu lain yang masih memerlukannya.
Mari kita angkat martabat dan darjat masyarakat. Mari kita muliakan agama Islam sebagai agama rasmi. Mari kita bela nasib orang Melayu dan bumiputera dan pada yang sama kita juga bela hak dan kepentingan orang bukan Melayu. Mari kita buktikan bahawa Malaysia ini adalah suatu negara yang benar-benar hebat.