Adakah anda seorang ‘neutral’? Mungkin perkataan ‘neutral’ itu tidak tepat, perkataan sebenar adalah tidak partisan atau berparti (dalam bahasa Inggeris, ‘non-partisan’). Sang neutral atau non-partisan tidak ada hubungan dengan mana-mana parti politik, dan tidak mempedulikan politik kepartian. Tetapi jangan salah anggap, sang neutral tidak semestinya tidak berpolitik, cuma tidak berparti politik.

Ada perbezaan sebenarnya di antara politik dan politik kepartian. Di Malaysia, banyak perkara melibatkan politik. Bola, makanan segera, minyak dan ekonomi ada politik. Politik sudah tentu ada politik. Terlibat dengan politik tidak semestinya melalui nas-nas parti politik yang sedia ada. Politik mempunyai pelbagai bentuk dan rupa, politik kepartian hanya salah satu wajah politik.

Malangnya, sang neutral di Malaysia sering disalah anggap. Mentang-mentanglah sang neutral mempunyai pendirian berbeza dengan politikus parti, maka dituduhnya sang neutral melawan dan menyokong lawan mereka. Kalau kamu tidak bersama kami, maknanya kamu menentang kami, teriak para politikus. Tidak kira lah parti mana sekalipun.

Pendirian ‘neutralisme’ itu juga dipersoalkan. Bagaimana kamu boleh tetap berpendirian neutral, ketika Malaysia sedang bergolak, tanya mereka. Bagaikan ia menjadi suatu kewajiban untuk berparti. Bagaikan terdapat perang teramat besar yang sedang berlangsung dan semua harus memilih di antara dua.

Sang neutral bukan tidak minat dengan politik atau tidak mengendahkan isu-isu ‘politikal’ tanah air. Sang neutral bukan tidak mempunyai pandangan atau pendirian. Bezanya, pandangan dan pendirian mereka bergantung pada isu. Mereka tidak dipengaruhi atau disekat oleh pendirian utama parti politik. Bukannya sang neutral tidak akan membuat pilihan di peti undi nanti.

Kasihan sang neutral. Suaranya makin sayup, ditenggelami kelantangan retorik politik yang semakin nyaring akhir-akhir ini. Dilihat dengan syak wasangka oleh kedua-dua pihak, dipersoalkan pendirian mereka yang tidak mahu berparti dan dibuat bagaikan mereka adalah halangan kepada Malaysia yang lebih baik.

Politik bukanlah hitam dan putih sahaja. Bukanlah harus berbaris mahupun berpakat sahaja. Politik itu sungguh luas, banyak lapisan. Hanya kerana pendirian sang neutral sama dengan pendirian sesuatu parti politik, tidak bermakna sang neutral menyokong parti politik tersebut, atau menentang lawan mereka. Politikus jangan dikaburi dengan ketaksuban parti sehingga kita curiga tidak bertempat.

Kematangan politik kita harus juga melibatkan kematangan menerima dan memberi kritikan. Kematangan berpolitik bermaksud kita tidak boleh mempunyai wawasan yang sempit dan mengikut corong-corong kepartian sahaja. Bukankah pepatah ada mengatakan, politik itu terlalu penting untuk dibiarkan kepada politikus sahaja.

Jangan salah anggap. Tidak salah berparti dan menyokong parti politik. Tidak salah menyebarkan ideologi dan fahaman parti politik. Kepelbagaian pendapat harus diraikan dan digalakkan. Sang neutral jangan pula alpa tentang peri pentingnya parti politik dan para politikus. Jangan pula angkuh kononnya parti politik dan politikus tidak diperlukan lagi.

Cuma biarlah sang neutral bersuara. Hormatilah hak mereka untuk bersuara. Di negara kita, perbincangan isu-isu nasional dicanang mengikut rentak parti-parti politik. Sering kali, sesuatu isu itu menjadi perbualan orang ramai apabila ia melibatkan parti politik dan politikus. Oleh itu, suara-suara alternatif, yang tidak dipengaruhi oleh fahaman kepartian, adalah penting. Kadangkala, suara sang neutral dapat mengupas selaput-selaput politik sesuatu isu dan melihat teras mengapa isu itu berbangkit.

Pembinaan negara atau nation-building wajar meliputi pandangan dan pendapat yang meluas, kemudiannya diuli menjadi konsensus nasional.

*disiarkan dalam Sinar Harian pada 9 April 2012

Advertisements