Protected: Apabila Najib dan Anwar minum teh

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Advertisements

Protected: Barisan’s ‘brilliant’ strategy in Permatang Pasir

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Tidak wajar!

Leave a comment

Di dalam catatan bertajuk “Wajarkah?” yang terpapar pada blognya, penasihat undang-undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun telah mengadaptasikan emel yang beliau terima (daripada seseorang yang meminta agar identiti beliau tidak dinyatakan), dan menyatakan persetujuannya (100%) dengan kandungan emel tersebut.

Catatan tersebut mempersoalkan mengapa beberapa institusi perbankan dan juga syarikat milik kerajaan (GLC) menggunakan khidmat peguam-peguam yang dikatakan “memberi perkhidmatan undang-undang secara pro bono (percuma) kepada pakatan pembangkang di dalam tindakan undang-undang di Perak.” Beliau telah menyenaraikan peguam-peguam (berserta firma guaman mereka) yang dikatakan memberi khidmat guaman kepada institusi perbankan dan GLC tersebut.

Secara amnya, catatan tersebut menyeru supaya beberapa anakguam institusi supaya tidak lagi memberi kerja-kerja guaman kepada para peguam yang bertindak untuk ahli politik Pakatan Rakyat. Amat sedih melihat seorang penasihat undang-undang untuk parti politik terbesar di negara ini bagaikan tidak memahami langsung tentang kebebasan seseorang peguam itu daripada karenah anakguamnya, dan betapa pentingnya perilaku seorang peguam terutama sekali sebagai seorang pegawai mahkamah.

Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran dakwaan Datuk Hafarizam mengenai peguam-peguam tersebut. Perkara itu biarlah dijawab oleh mereka sendiri. Apa yang ingin saya bicarakan di sini adalah berkenaan isu yang ditimbulkan oleh Datuk Hafarizam di dalam blognya.

Kita harus membezakan di antara “kerajaan” dan “parti politik”. Di dalam sistem demokrasi yang digunapakai di Malaysia, kerajaan persekutuan dibentuk oleh parti politik (atau gabungan parti politik) yang telah memenangi majoriti kerusi parlimen di dalam Dewan Rakyat. Bagi setiap pilihanraya umum yang dijalankan sebelum ini, parti Barisan Nasional (atau sebelum itu, Parti Perikatan), telah mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan. Pada masa ini, Barisan Nasional adalah parti pemerintah kerana ia telah memenangi pilihanraya umum yang ke-12 (dan semua pilihanraya umum sebelum ini). Tetapi ini tidak bermakna bahawa kerajaan Malaysia akan diterajui oleh Barisan Nasional untuk selamanya.

Kita harus ingat bahawa tidak kiralah samada GLC atau institusi perbankan, yang mempunyai kepentingan adalah kerajaan Malaysia dan bukannya Barisan Nasional. Gelaran yang diberikan adalah “syarikat milik kerajaan” dan bukannya “syarikat milik parti politik” atau “syarikat milik Barisan Nasional”. Kerajaan Malaysia masih mempunyai kepentingan di dalam GLC, walaupun kerajaan tersebut bukan lagi kerajaan Barisan Nasional. Oleh itu, saya tidak nampak di mana salahnya jika seorang peguam mewakili GLC atau bank dan juga mewakili parti politik. Kedua-duanya, walaupun kadangkala berkait-rapat, adalah dua entiti yang berbeza.

Saya tidak tahu samada beliau adalah penasihat undang-undang GLC dan bank yang disebut di dalam blognya, tetapi apa yang pasti adalah beliau telah membangkitkan hal ini sebagai penasihat undang-undang UMNO. Jika parti politik dan kerajaan adalah dua entiti berbeza, atas dasar apa Datuk Hafarizam membangkitkan hal ini? Adakah seorang penasihat undang-undang parti politik boleh mempersoalkan kriteria pemilihan GLC dan bank dalam memilih firma guaman?

Tugas seorang peguam

Datuk Hafarizam juga sudah semestinya arif tentang apa yang dikenali sebagai cab-rank rule. Ia merupakan satu konsep yang diambil dari negara England yang menyatakan bahawa seseorang peguam mempunyai obligasi untuk menerima walauapapun kes yang datang kepadanya, jika peguam itu mempunyai kecekapan atau kemahiran di dalam perkara tersebut. Seorang peguambela atau barrister di England sering diumpamakan sebagai seorang pemandu teksi. Tugas seorang pemandu teksi adalah untuk membawa penumpangnya ke mana sahaja diinginkan, asalkan penumpang itu membayar tambang yang sewajarnya dan destinasi itu adalah di dalam lingkungan tempat kerja pemandu teksi itu.

Seorang barrister pula harus menerima sesiapapun sebagai anakguamnya, asalkan anakguam itu bersedia membayar yuran munasabahnya dan asalkan kerja itu adalah di dalam lingkungan kerja barrister itu. Seorang barrister juga diseru untuk memberi nasihat dan khidmat guaman secara pro bono atau tanpa mengenakan yuran kepada mereka yang dianiaya oleh tindakan kerajaan dan telah dicabuli hak asasi mereka.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang yang dituduh meragut datang kepada saya dan memohon saya mewakilinya di mahkamah, mengikut cab-rank rule saya harus menerima kes tersebut walaupun secara peribadi saya benci mereka yang meragut.

Di Malaysia, konsep cab-rank rule ini telah diterapkan ke dalam etika amalan guaman melalui Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978 (bahasa Inggeris: Legal Profession (Practice & Etiquette) Rules 1978), yang menggariskan peraturan etika dari segi perilaku dan ketrampilan seseorang peguam. Peraturan 2 menyatakan:

An advocate and solicitor shall give advice on or accept any brief in the Courts in which he professes to practise at the proper profesional fee dependent on the length and difficulty of the case, but special circumstances may justify his refusal, at his discretion, to accept a particular brief.

Jelas bahawa peguam-peguam yang disebut oleh Datuk Hafarizam tidak boleh menolak apa-apa kes yang diberikan kepada mereka, tidak kiralah samada kes tersebut melibatkan GLC, kerajaan, bank mahupun parti politik. Peguam-peguam tersebut tidak harus dipersalahkan sekiranya institusi perbankan, GLC dan juga parti politik memohon khidmat mereka.

Penghinaan mahkamah?

Datuk Hafarizam yang juga bertindak sebagai peguambela dan peguamcara untuk ahli politik UMNO, menyokong seruan supaya anakguam peguam-peguam yang menghadapinya di dalam kes di mahkamah menarik balik kerja yang diberikan kepada peguam-peguam tersebut. Tindakan ini nampak bagaikan intimidasi terhadap peguam-peguam yang menentangnya.

Saya berpendapat bahawa Datuk Hafarizam sebagai seorang peguam tidak seharusnya membangkitkan isu ini. Peguam-peguam yang disebut di dalam catatan blog itu adalah lawannya di dalam beberapa kes berkaitan dengan krisis politik di Perak.

Saya ambil contoh, katakanlah saya mewakili A di dalam suatu kes guaman dan X pula mewakili B. Sebagai peguam A, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempersembahkan kes A kepada mahkamah, termasuklah “menyerang” hujah-hujah X dengan hujah-hujah saya sendiri. Tetapi adakah wajar sekiranya di luar mahkamah, saya masih “menyerang” X dengan menimbulkan isu tentang anakguam X yang lain? Adakah wajar sekiranya saya mempersoalkan siapa anakguam-anakguam X, yang tidak ada kena-mengena dengan kes di antara A dan B?

Datuk Hafarizam seharusnya membezakan dirinya sebagai peguam dan anakguamnya sebagai sebuah parti politik. Benar, kes-kes Perak melibatkan pergelutan dua gabungan parti politik. Benar juga bahawa Datuk Hafarizam adalah penasihat undang-undang UMNO yang terlibat di dalam kes-kes tersebut. Tetapi Datuk Hafarizam tidak seharusnya terpengaruh dengan kes-kes anakguamnya dan menjadikannya sesuatu yang peribadi.

Peraturan (Amalan dan Etika) Profesion Guaman 1978, Peraturan 32:

The feeling existing between clients shall not be allowed to influence counsel in their conduct and demeanour towards each other or towards parties and their witnesses in the case.

Para peguam tidak boleh membiarkan perasaan di antara anakguam mereka mempengaruhi tingkahlaku mereka antara satu sama yang lain. Dengan membangkitkan isu mengenai anakguam peguam-peguam tersebut, Datuk Hafarizam telah sedikit sebanyak menjadikan kes-kes UMNO dan Barisan Nasional di Perak sebagai sesuatu yang peribadi. Beliau telah terbawa-bawa dengan pergelutan politik di antara kedua-dua belah pihak.

Saya bukanlah ahli mana-mana parti politik, apatah lagi menjadi penasihat undang-undang bagi mana-mana parti politik. Saya hanyalah seorang peguam muda yang masih mentah dari segi umur dan juga pengalaman. Tetapi saya memegang teguh pada kepercayaan bahawa profesion guaman itu adalah profesion yang murni dan terhormat. Walau sehebat mana persaingan di antara anakguam yang kami wakili, saya sentiasa percaya bahawa peguam seharusnya mementingkan profesionalisme dalam apa jua tindakan, apatah lagi sesama peguam.

Peraturan 18 menyatakan:

The conduct of an advocate and solicitor before the Court and in relation to other advocates and solicitors shall be characterised by candour, courtesy and fairness.

Atas dasar ini, saya berpendapat bahawa tindakan Datuk Hafarizam menyokong kandungan emel tersebut adalah sangat tidak wajar.

*This article was first published in Loyarburok and also reproduced in the Malaysian Insider.

Protected: Stay order does not make a Mentri Besar

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Protected: My opinions on Mr. Zambry’s stay order

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Protected: Hari Yang Begitu Gelap

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Protected: The politics of fear and division in Bukit Gantang

Enter your password to view comments.

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Older Entries