Saya menjangkakan bahawa saya akan ‘dikecam hebat’ selepas post ini.
Nampak gayanya, warga UiTM sudah marah pada Menteri Besar Selangor. Nampak gayanya, beribu turun ke Shah Alam nak protes cadangan Tan Sri MB untuk buka 10% pada bukan bumiputera. Nampak gayanya, Tan Sri MB patutpun digelar ‘pengkhianat bangsa’ sebab bagi cadangan yang bukan-bukan. Patut ke dia nak buka UiTM. Bukankah DPM dua tahun lepas dah cakap: U.I.T.M – Universiti Ini Tolong Melayu.
UiTM ‘last bastion‘ Melayulah, kata Naib Chanselor UiTM. Tak tahulah dia paham apa maksud ‘last bastion‘. Sebab bagi saya, ‘last bastion’ tu maksudnya kubu terakhir. Kira macam dalam peranglah. Naib Chanselor UiTM nak cakap yang kita berperang? Dengan siapa pula? Setahu saya, last kita perang adalah lawan komunis dulu.Tapi dia VC, mesti lagi pandai. Macam VC lagi satu dekat UUM, Nordin Kardi.
Orang Cina dengan India memang dah lama nak masuk UiTM ni. Berlumba-lumba nanti diorang masuk kalau kita bagi 10%. Mesti diorang tinggalkan Lim Kok Weng, HELP Institute, Sunway, Monash, UTAR nak masuk UiTM. Entah-entah diorang yang nak belajar overseas pun tak jadi sebab nak masuk.
Bengong lah Tan Sri MB ni. Pandai-pandai nak kacau UiTM. Itu hak Melayu, tahu tak? Macam Malaysia ni pun hak Melayu. Nama pun Tanah Melayu. Cuma Sabah dan Sarawak tak nama Tanah Melayu. Tapi ada Melayu juga. Hasil bumi kita ambil juga. Kira hak Melayu jugalah. Cuma nama tak Melayu.
Tak baca Artikel 153 Perlembagaan agaknya Tan Sri MB ni. Memanglah Perlembagaan tak cakap UiTM tu hak kena 100% bumiputera. Memanglah Perlembagaan tak cakap yang mana-mana universiti kena ada berapa peratus bumiputera. Memanglah Perlembagaan tak cakap cuma boleh beri biasiswa pada bumiputera sahaja.
Memanglah yang Perlembagaan cakap cuma mesti ada kuota untuk bumiputera.
Tapi bukan ke berjela-jela orang UMNO dah baca Perlembagaan tu. Mereka boleh nampak isi tersirat perlembagaan yang kita semua tak nampak. Mungkin isi tersirat tu hanya pejuang bangsa sahaja yang nampak agaknya. Dah tentulah pengkhianat bangsa macam Tan Sri MB tak nampak. Lagi pula si ejen Yahudi Anwar tu… lagilah tak nampak.
Orang Melayu mesti dilindungi. Kita ni lemah, bodoh, malas dan miskin. Tak percaya? Bukankah pejuang-pejuang kita dalam UMNO tu yang selalu cakap yang kita ni lemah, bodoh, malas dan miskin? Diorang nak protect kita lah, sebab kita lemah, bodoh, malas dan miskin. Orang Melayu ni memang tak boleh berjaya langsung kalau tak dibantu. Nasib baik orang UMNO bantu kita.
Bila diorang dah bantu kita berulangkali, sekali-sekala bagilah diorang bantu kawan-kawan diorang juga kan? Keluarga diorang, saudara mara diorang, konco-konco diorang. Alah, bukan selalu. Sekali-sekala. Bukan banyak pun. Juta-juta sahaja. Tak sampai billion pun. Kira macam perhargaanlah untuk diorang sebab asyik bantu kita yang lemah, bodoh, malas dan miskin ni.
Baguslah budak-budak UiTM tu keluar protes. Bukan selalupun. Dah berpuluh tahun rasanya. Yelah, kan ada AUKU. Sekarang pun masih ada AUKU, tapi sebab nak protes pada pengkhianat bangsa, so kira OKlah. Budak-budak UiTM tu pun nak protes masa kerajaan naikkan harga minyak dulu, tapi ada exam. So tak bolehlah. Memanglah, sekali naik harga minyak lebih menjejaskan orang Melayu yang lemah, bodoh, malas dan miskin daripada sepuluh statement pengkhianat bangsa macam Tan Sri MB dan sepuluh lagi statement dari pelampau DAP dan HINDRAF (macam Khir Toyo cakap dalam blog). Tapi nak buat macam mana, masa tu exam. Lagipun yang naik harga minyak tu pejuang bangsa dalam UMNO, bukan pengkhianat macam PKR.
Rasanya patut bagi amaran kat Tan Sri MB dengan pengkhianat-pengkhianat lain dalam PKR dan penyokong diorang pelampau DAP dan HINDRAF dan kuda tunggangan PAS: jangan main isu perkauman tau! Isu ni sensitif!